PERBINCANGAN MEJA BULAT
KUMPULAN 1
Saranan dan Penambahbaikan Program Pendidikan Muzik di Malaysia
Pernyataan Masalah
1. Tahap Pendidikan Muzik secara formalnya hanya di peringkat rendah sahaja. Maka peluang untuk mengembangkan potensi dan bakat dalam bidang muzik adalah sangat terhad. Sekolah tidak memberi penekanan kepada mata pelajaran Pendidikan Muzik disebabkan ia tidak diuji dalam peperiksaan awam.
Saranan
Pendidikan muzik bukan mata pelajaran yang diuji dalam peperiksaan awam. Oleh itu, ada sekolah yang tidak memberi penekanan kepada mata pelajaran ini. Pendidikan Muzik di peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi adalah asas yang sangat penting bagi meningkatkan kefahaman, kemahiran, keilmuan dan kebijaksanaan berfikir secara kreatif yang menjadi elemen penting dalam membangunkan Pendidikan Muzik sebagai sebuah industri yang berdaya saing dalam jangka panjang. Pendidikan muzik sebagai mata pelajaran wajib perlu diperluaskan ke peringkat sekolah menengah atas di semua sekolah menengah, dan tidak setakat matapelajaran elektif serta secara projek perintis sahaja untuk 20 sekolah menengah seperti yang dipraktikkan sejak tahun 1996.
Kurikulum pendidikan muzik di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah
perlu dikaji semula agar wujud kesinambungan dari peringkat rendah ke peringkat menengah rendah dan seterusnya ke peringkat menengah tinggi. Jika di peringkat sekolah rendah, tumpuan adalah kepada pengetahuan asas muzik. Adalah dicadangkan pendidikan di peringkat menengah rendah menjurus kepada pengkhususan sebagai persiapan melangkah ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya menghadapai peperiksaan asas di peringkat sekolah menengah. Kajian semula kurikulum ini juga adalah untuk memberi laluan kepada perancangan kurikulum khusus seni muzik di peringkat universiti agar institusi pengajian tinggi (lPT) dapat melahirkan graduan yang memenuhi ke hendak pasaran semasa.
Cadangan Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan sekolah seni di Johor dan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan sebagai sekolah perintis adalah satu hasrat yang murni. Dalam konteks ini adalah diharapkan sekolah seni ini dapat diwujudkan di semua negeri untuk memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada pelajar yang cemerlang dalam bakat dan seni untuk mendapat pendidikan formal dalam bidang ini, sepertimana pewujudan sekolah vokasional bagi mereka yang cenderung kepada bidang vokasional.
Dalam era globalisasi dan e-knowledge sekarang, kurikulum muzik juga perlu meniti arus yang sama. Pendidikan Muzik masa kini harus disesuaikan dengan kemajuan sains dan teknologi dan keperluan pasaran semasa. Selain daripada pembelajaran muzik secara konvensional dengan penekanan kepada seni muzik, para pelajar juga harus didedahkan kepada aspek perniagaan muzik seperti pemasaran, pengeluaran dan pengilangan, disamping peraturan dan perundangan kerajaan yang meliputi industri ini. Cadangan ini diharap sekurang-kurangnya dapat memberi persediaan secukupnya kepada pelajar untuk menghadapi dunia muzik sebenar apabila mereka melangkah keluar dari menara ilmu kelak.
2. Mengikut Johami (1997), kualiti pengajaran muzik boleh dikatakan kurang memuaskan pada keseluruhannya kerana sebahagian besar tenaga pengajar muzik yang terlibat tidak menerima latihan yang mencukupi.
Saranan
Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai cukup bilangan guru muzik dan pensyarah muzik yang berpendidikan dan mahir dalam seni muzik. Kebanyakan sekolah mengatasi masalah ini dengan menggunakan perkhidmatan guru secara gunasama dengan bidang yang lain asalkan guru tersebut mempunyai sedikit pengetahuan asas dalam bidang muzik. lni mengakibatkan mata pelajaran muzik sering dipinggirkan apabila keadaan memerlukan penekanan kepada mata pelajaran lain, terutama apabila musim peperiksaan tiba. Institusi pengajian tinggi (IPT) pula mengatasi masalah ini dengan menggunakan perkhidmatan pensyarah muzik secara gunasama dengan IPT lain. Kekurangan ini boleh dianggap sebagai penyebab utama kepada kurangnya minat pelajar untuk meneruskan pengajian dalam seni muzik sebagai pilihan utama di IPT. Keadaan ini seterusnya mengakibatkan kekurangan gunatenaga mahir dalam industri muzik tanahair.
Tidak dinafikan masalah pelaksanaan Pendidikan Muzik secara menyeluruh di semua peringkat pendidikan dipengaruhi oleh kekurangan guru muzik yang khusus dan mahir. Kekurangan ini perlu diatasi dengan segera dengan memberi insentif seperti biasiswa atau pinjaman kepada pelajar muzik dan guru muzik sedia ada serta belum terlatih untuk melanjutkan pelajaran seni muzik di dalam dan luar negara.
3. Peralatan yang dibekalkan oleh kementerian pelajaran pada tahun 1983 semasa pelaksanaan Pendidikan Muzik telah usang dan jarang sekali diganti dan ini menjejaskan pengajaran guru. Manakala kegiatan kokurikulum muzik seperti persatuan muzik sekolah hanya wujud di sekolah yang mampu menyediakan kemudahan peralatan muzik atas budi bicara pengetua atau guru besar.
Saranan
Pembelajaran Pendidikan Muzik perlu seiring antara pendekatan secara teori dan secara amali. Bagaimanapun, pendekatan secara amali sering dibebani oleh kekurangan peralatan muzik. Dalam hal ini, kerajaan perlu menyediakan peruntukan setiap tahun kepada Kementerian Pelajaran Malaysia khusus untuk pembelian peralatan ini. Disamping itu, pihak sekolah juga wajar mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung peruntukan kerajaan. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting membantu kerajaan dengan melaksana projek yang boleh menjana tabung sekolah ke arah pencapaian hasrat murni ini.
4. Persepsi ibubapa dan masyarakat terhadap Pendidikan Muzik masih kurang diberi penekanan dan penghargaan kerana bagi mereka bidang ini tidak menjamin masa hadapan anak-anak mereka.
Saranan
Industri muzik mengalami pandangan negatif bahawa ia bukanlah merupakan sebuah industri yang boleh menjamin masa depan tetapi hanya dilihat sebagai satu bidang hiburan dan bukan sebagai penyumbang kepada ekonomi. Harta intelek yang dihasilkan pula tidak dihormati sebagai sumbangan terhadap warisan budaya negara. Individu yang terlibat di dalam industri muzik tidak dipandang sebagai profesional sepertimana industri-industri lain di negara ini.
Media terutama media cetak, lebih gemar membuat laporan mengenai isu peribadi artis yang disensasikan seperti perceraian, khalwat, penagihan dadah dan sebagainya. Laporan-Iaporan sebegini memburukkan golongan artis serta industri itu sendiri. Tidak hairanlah jika ramai ibu bapa yang tidak menggalakkan anak mereka berkecimpung di dalam industri ini.
Walaupun terdapat IPT yang pada dasarnya menawarkan subjek dalam muzik, namun pengendaliannya adalah secara tersendiri iaitu mengikut citarasa masing-masing. Justeru, secara amnya Pendidikan Muzik di peringkat ini boleh dikatakan kurang terarah. Oleh itu, adalah dicadangkan beberapa pendekatan untuk memastikan Pendidikan Muzik lebih terancang dan terarah serta dapat memenuhi aspirasi negara ke arah pengeluaran graduan seni muzik yang diingini.
Pelaksanaan Pendidikan Muzik secara sambiIan untuk penggiat seni adalah dicadangkan melalui penganjuran bengkel jangka pendek atau pada hujung minggu, ceramah oleh pakar dalam bidang muzik, lawatan sambil belajar ke pusat-pusat pendidikan muzik samada di dalam atau luar negara, dan sebagainya secara berterusan. Langkah ini yang sewajarnya diterajui oleh KeKKWa akan juga dapat menyokong dan mengukuhkan lagi sistem pendidikan formal sedia ada.
Penggiat muzik tanahair harus juga mempunyai pelbagai kemahiran termasuk kemahiran keusahawanan dan ilmu pengetahuan bagi memanjangkan hayat kerjaya masing-masing dan menyumbang secara berterusan kepada industri muzik tanahair. Ini juga bertujuan agar ilmu dan kemahiran yang diperolehi mereka masih boleh dipindah kepada pelapis dan juga tidak terbazir.
Pandangan negatif masyarakat mengenai industri hiburan serta laporan mengenai diri artis yang disensasikan oleh media boleh dielakkan seandainya para artis sendiri mempunyai sahsiah diri yang tinggi dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam industri ini. Justeru, langkah KeKKWa menganjurkan Bengkel Sahsiah Seni khusus untuk para artis sejak tahun 2004, yang diisi dengan keilmuan daripada aspek etika dan perwatakan diri memberi mereka peluang untuk membuat persiapan emosi bagi mempertingkatkan keyakinan menghadapi cabaran-cabaran mental akibat daripada tanggapan negatif dan pendedahan media ini. Oleh hal yang demikian maka bengkel ini perlu diteruskan oleh KeKKWa.
Promosi dan pemasaran mengenai peluang kerjaya dalam industri muzik perlu diperluaskan. Masyarakat perlu disedarkan bahawa kerjaya sebagai pencipta, pemuzik, penulis lirik, penyanyi, jurutera audio dan sebagainya, serta kerjaya dalam syarikat rakaman juga adalah pekerjaan yang boleh menjamin masa depan. Kerajaan, melalui KeKKWa, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu bertindak bagi mempromosi muzik sebagai satu kerjaya kepada masyarakat dan membetulkan salah tanggapan ini.
5. Kecenderungan Kepada Pendidikan Muzik Barat
Pengisian kurikulum Pendidikan Muzik di sekolah adalah lebih cenderung dan berorientasikan pendidikan muzik dari Barat dan kurang menonjolkan muzik yang beridentitikan Malaysia. Daripada segi pembelajaran misalnya, pelajar lebih mengenali muzik Mozart atau Beethoven berbanding hasil karya seni Tan Sri P. Ramlee, Kassim Masdor, Ooi Ew Jin, Jimmy Boyle, atau Datuk Ibrahim Bachik. Penggunaan peralatan muzik juga lebih tertumpu kepada alat muzik moden seperti piano, violin dan trumpet. Peralatan muzik tradisional seperti gong, gendang Melayu/India, serunai dan sebagainya tidak diterapkan kerana tidak dianggap universal.
Saranan
Penegasan tentang seni budaya dan warisan di dalam kehidupan amat jelas di dalam perancangan kerajaan, seperti yang terkandung di dalam Buku RMK9 pada Bab 23. Oleh itu, dengan hanya menyatakan tentang betapa pentingnya Pembinaan Modal Insan tidak cukup. Pendekatan membina insan itu harus dipelbagaikan dan satu-satunya jurusan ialah menerusi pendidikan seni budaya yang kemudiannya mampu melahirkan pengamal, penggiat, karyawan dan seniman yang terlatih, berilmu dan profesional.
Peranan seni budaya dan warisan dalam mewujudkan masyarakat dan negara yang bertaraf tinggi atau bertamadun tidak dapat disangkal lagi. Seni budaya merupakan manifestasi tamadun kehidupan masyarakat sesebuah negara. Muzik, teater, senilukis, tarian, koreografi, penulisan kreatif, kraf dan sebagainya adalah asas dan pelengkap kepada kehidupan berkualiti. Semua negara maju di dunia memberi keutamaan kepada latihan dan galakan seni sama ada melalui latihan formal mahupun melalui galakan lain.
Setakat ini pemeliharaan muzik tradisi melalui kaedah pendidikan diterajui oleh ASWARA di bawah KeKKWa. Usaha ini wajar diteruskan, malah perlu dikembangkan agar pembelajarannya meliputi lebih banyak lagi muzik tradisi yang terdapat di negara ini. Selain daripada ASWARA, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), sebagai agensi pelaksana aktiviti kebudayaan dan kesenian KeKKWa, juga mengendali beberapa siri bengkel jangka pendek merangkumi pendidikan bermain alat muzik secara amali, serta pembuatan alat muzik melalui projek industri budaya. Usaha-usaha ini juga wajar diteruskan, terutama bagi bengkel pembuatan alat muzik yang perlu diperluaskan skop jenis alat muzik yang dibengkelkan, dan tidak hanya tertumpu kepada pembuatan gendang sahaja seperti dewasa ini.
Bagi menggalakkan kecenderungan dalam muzik tradisi di kalangan rakyat Malaysia terutama generasi muda, beberapa siri pertandingan muzik tradisi harus dilaksanakan, sama ada yang berbentuk muzik secara keseluruhan atau mengiringi artis dalam pertandingan nyanyian. Sebagai contoh, pertandingan muzik tradisi iaitu muzik silat, muzik sape dan muzik gong yang masing-masing anjuran negeri-negeri Kedah, Sarawak dan Sabah suatu ketika dulu wajar dihidupkan semula. Begitu juga Pertandingan Bintang Asli Remaja anjuran KeKKWa hendaklah diteruskan kerana pertandingan nyanyian seperti ini memerlukan muzik tradisi sebagai pengiring artis. Secara tidak langsung pertandingan ini dapat menghidupkan semula persembahan muzik tradisi di samping membuka ruang dan peluang yang lebih banyak ke arah penciptaan lagu-lagu berlandaskan muzik tradisi.
Kegiatan muzik tradisi boleh terbantut seandainya tiada usaha jitu ke arah menyemarakkannya ke seluruh negara. Setakat ini muzik tradisi hanya popular di luar-luar bandar dan amat jarang sekali diketengahkan di bandar-bandar. Persembahan di bandar seringkali hanya tertumpu kepada majlis-majlis rasmi kerajaan melibatkan pembesar-pembesar negara sahaja dan amat kurang dipersembahkan secara konsert. Justeru sebagai agensi kerajaan, Istana Budaya perlu memberi lebih banyak peluang kepada persembahan muzik tradisi dengan penganjurannya secara eksklusif, selaras dengan pentas Istana Budaya yang bertaraf dunia. Di samping itu, adalah wajar persembahan dilangsungkan secara keliling di bandar-bandar utama negara untuk memberi peluang kepada masyarakat menikmati muzik tradisi dalam bentuk penganjuran
yang eksklusif.
Usaha-usaha ke arah pemeliharaan muzik tradisi secara penyelidikan, pendidikan, penggalakan dan penyemarakan memerlukan kewangan bagi menampung aktiviti-aktiviti berkaitan. Projek penyelidikan memerlukan biaya bagi kerja-kerja penyelidikan yang khusus dan terperinci. Bagi penggalakan muzik tradisi, pertandingan bermain alat muzik dan pertandingan nyanyian lagu-lagu asli wajar diberi pembiayaan agar generasi muda dapat terus mengasah, menonjol, dan memupuk bakat mereka dalam bidang ini. Khazanah merupakan gedung ilmu. Dari situ, akar umbi dan susur galur sesuatu perkara dapat diselusuri untuk maksud pemahaman sesuatu tamadun bangsa. Khazanah muzik juga adalah salah satu sumber ilmu pengetahuan tentang budaya bangsa. Justeru, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai sebuah khazanah muzik sebagai gedung penyimpanan sejarah dan artifak kesenian ini. Untuk maksud ini, KeKKWa memainkan peranan utama ke arah pewujudan gedung ini dengan dibantu oleh Kementerian Penerangan sebagai kementerian yang empunya stesen radio yang pertama di negara ini yang sudah tentu mempunyai simpanan album sejak stesen radionya mula beroperasi pada awal tahun lima puluhan. Syarikat rakaman yang bertanggungjawab dalam penerbitan album juga memainkan peranan memberi maklumat terperinci tentang pengeluaran sesuatu album. Pada peringkat permulaan dicadangkan khazanah ini diwujudkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), satu-satunya institusi pendidikan seni di Malaysia yang ditadbir sepenuhnya oleh Kerajaan melalui KeKKWa. Adalah diharapkan pewujudan khazanah ini merupakan titik permulaan ke arah pewujudan gedung sebenar yang boleh berfungsi sebagai pusat rujukan kesenian muzik antarabangsa dan menjadi kebanggaan Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment