Sunday, May 4, 2008

permasaalahan penubuhan dikir barat d sekolah


PENUBUHAN PASUKAN DIKIR BARAT DI SEKOLAH:
PERMASALAHAN YANG DI HADAPI.
Oleh:
Nik Nasharuddin bin Awang @ Mustapa
M20071000066
(SPM6443 Seminar Dalam Pendidikan Muzik)
Fakulti Seni & Muzik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

ABSTRAK
Pendidikan muzik disetiap sekolah bermatlamat menjana pelajar yang berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang muzikal serta berketerampilan dari segenap segi samada berdisiplin atau mempunyai keyakinan diri yang dibentuk melalui pengalaman muzikal. Perkembangan muzikal pada setiap individu juga banyak membantu perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek pengamal muzikal. Namun persoalannya banyak permasalahan yang harus dihadapi oleh guru-guru dalam menubuhkan pasukan dikir barat disekolah. Bagi mencapai matlamat penubuhan pasukan dikir barat ini guru-guru seharusnya mengikut landasan dan perancangan yang betul dan penglibatan guru-guru yang benar-benar komited sahaja dapat mengatasi masalah yang bakal muncul dan menggunakan kebijaksanaan dalam penyelesaian masalah. Fokus penulisan ini memberi tumpuan dan perbincangan permasalahan yang akan di hadapi oleh para guru yang akan menubuhkan pasukan dikir barat disekolah.







(Pasukan Dikir Barat)
1.0 PENGENALAN

Permainan dikir barat adalah suatu muzik tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Patani. Secara umumnya, tidak seperti muzik tradisional lain, permainan ini lebih popular di kalangan masyarakat biasa daripada kalangan istana. Di dalam persembahan dikir barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara (atau dikenali sebagai juara sahaja). Mereka akan menyanyi sepontan sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir barat boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun secara pertandingan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat tani di musim menuai padi dan juga majlis perkahwinan serta berkhatan. Di samping itu, pertandingan sering diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan mahupun pihak tertentu. Dikir barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional lain.






Terdapat beberapa pendapat mengenai asal-usul dikir barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Sebenarnya dikir barat ini yang lebih terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan.

Mengikut masyarakat Kelantan, perkataan "Barat" ini bermakna Selatan Negeri Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana pada satu ketika dahulu Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua-dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara tidak langsung dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk zikir dan di sana juga ianya ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan (Patricia Matusky & Tan Sooi Beng, 1997).
Perkembangan muzik ini amat unik kerana dikir barat sering berubah bentuk persembahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Perkataan dikir adalah hasil dari kombinasi dua perkataan, iaitu dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian karut itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan dikir syair merujuk kepada perkara yang sama. Walau bagaimanapun, di Kelantan permainan ini lebih dikenali sebagai dikir barat dan di patani sebagai dikir karut (Asmad, 1996).

1.1 PEKEMBANGAN DIKIR BARAT

Dekad ini perkembangan dikir barat telah menular ke segenap pelusuk negara ini dan setiap lapisan mayarakat telah mengenali apa itu dikir barat dan kebanyakan mereka tahu apa yang akan di persembahkan dalam dikir barat.Teater Dikir Barat ini mempunyai peminatnya unitnya yang tersendiri. Kebanyakan sekolah di negara ini, sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah mempunyai pasukan dikir barat yang dianggotai oleh para pelajar sebagai salah satu daripada kegiatan kokurikulum, selain daripada pasukan koir, pancaragam dan nasyid di peringkat sekolah.
Sebagai pendidik, khususnya pendidik muzik ataupun yang terlibat secara langsung ataupun tidak dengan dikir barat kita seharusnya sedar dan bersedia dalam proses penubuhan atau pembentukan pasukan dikir barat terdapat pelbagai masalah atau cabaran yang patut dilalui oleh kita.
Dalam kertas kerja ini saya akan cuba mengupas sedikit sebanyak permasalahan yang muncul dalam proses penubuhan dan pembentukan pasukan dikir barat di sekolah. Kupasan permasalahan ini boleh dijadikan panduan khas bagi mereka yang terlibat dengan dikir barat dan akan cuba menyelesaikan permasalahan yang timbul dengan cara yang paling sesuai. Saya juga berharap melalui pembentangan ini kita dapat sama-sama memikirkan serta mencari cadangan yang boleh membantu mengatasi masalah yang muncul.


2.0 ASPEK PERMASALAHAN

Menurut Akhbar bin Amran (2005). Adalah menjadi fenomena biasa, terdapat pelbagai kekangan jika ada usuha-usaha yang cuba menonjolkan sebuah kumpulan muzik di sekolah.
Kebanyakan sekolah di Malaysia melalui kegiatan Kokurikulum mempunyai kelab seni dan kebudayaan, terutamanya di sekolah menengah. Pasukan dikir barat termasuk salah satu dari kegiatan kebudayaan dan kesenian. Masaalah yang dihadapi oleh kelab atau persatuan kesenian tradisional ini tidak mendapat sambutan dari para pelajar, ini menyukarkan guru untuk menjalankan kegiatan kesenian disebabkan kekurangan ahli, terutamanya pasukan dikir barat yang memerlukan jumlah ahli pendikir yang ramai. Para pelajar lebih cenderung atau meminati perkara-perkara yang baru selain seni kegiatan yang tradisional, contohnya para pelajar lebih suka kepada muzik moden yang popular sesuai dengan peredaran zaman.
Masalah disiplin pelajar juga merupakan satu masalah dalam perkembangan dan penubuhan dikir barat disekolah.Biasanya pelajar yang meminat bidang kesenian tradisional ini adalah dari pelajar-pelajar yang lemah dari segi pelajaran dan disiplinya. Mereka mengangap bidang ini sebagai hiburan dan cuba lari dari pembelajaran teras. Mereka ini biasanya agak susah dikawal dan mempunyai tahap disiplin yang teruk ini akan memyebabkan pasukan yang ditubuh akan rosak jika ada penyertaan dari pelajar seperti ini.
Masa latihan yang terhad juga memberi impak yang besar kepada sesuatu pasukan dikir barat untuk lebih maju ke hadapan. Sekarang kebanyakan sekolah terhadkan kegiatan kokurikulumnya dimana kegiatan yang dijalankan di sekolah terpaksa diagih-agihkan masanya dengan kegiatan lain, contohnya badan beruniform, persatuan akedemik dan kelas tambahan bagi subjek-subjek yang penting. Ini secara tak langsung masa bagi pemantapan kumpulan dan latihan sangat kurang.
Kekurangan jurulatih yang berpengalaman juga menjadi sebab penubuhan pasukan dikir barat ini kurang menyerlah. Biasanya sekolah-sekolah yang tidak mempunyai guru muzik terpaksa mendapatkan jurulatih luar sebagai tenaga pengajar. Kita sedia maklum tenaga pengajar atau jurulatih luar sangat kurang dan mereka ini menjadi perebutan bagi sekolah yang memerlukan khidmat dari mereka ini.Sekarang Kekwa banyak melatih para belia dan guru sebagai jurulatih pasukan dikir barat tetapi masih belum mencukupi sebab ada yang menghadiri kursus tersebut hanya memendamkan ilmu mereka tanpa berkongsi dengan orang lain.
Perbelanjaan kewangan mengurus sangat tinggi dan lebih merumitkan lagi ialah untuk mendapatkan sumber kewangan. Perbelanjaan ini termasuklah pembayaran elaun jurulatih,penjagaan alatan muzik dikir, pembelian peralatan dikir barat elaun pelajar dan pakaian khas kumpulan dikir barat. Sumber kewangan yang terhad dari pihak pentadbiran sekolah amat tidak mencukupi untuk perbelanjaan mengurus pasukan dikir barat.Masalah keewangan inilah yang menghantui sesorang guru muzik untuk menubuhkan pasukan dikir barat.

(Peralatan Dikir Barat)
Kesukaran mendapatkan peralatan dikir barat yang baru atau tempat membaiki peralatan yang rosak juga menjadi salah satu masalah dalam pasukan dikir barat selain itu pembekal atau pembuat peralatan dikir barat amat berkurangan sekali. Sedangkan peralatan dikir barat dan pembaikian peralatan sangat mustahak bagi memastikan perjalanan pasukan dikir barat ini berjalan lancar.
Tahap perkembangan dikir barat disekolah juga kurang memuaskan, kerana pasukan dikir ini tiada tempat yang khusus untuk mempamirkan bakat kesenian mereka. Contohnya sekolah di Kelantan hanya satu pertandingan sahaja yang ada sepanjang tahun. Pertandingan tersebut hanya dianjurkan oleh anti dadah kebangsaan. Ini menampakan bahawa penyaluran bakat bagi pendikir-pendikir di sekolah amat terhad sekali.
Pengurusan dan pentadbiran sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dikir barat disekolah, pasukan dikir barat perlu mendapat sokongan moral mahupun keewangan dari pihak pentadbiran bagi memastikan penubuhan dan perkembangan dikir barat di sekolah berjalan lancar. Masalah yang timbul ialah pihak pentadbir atau pengurusan sekolah sendiri yang tidak berminat dan tidak mengendahkan langsung tentang perkembangan dikir barat di sekolah mereka. Ini akan melemah semangat guru yang menguruskan pasukan dikir dan pelajar yang menyertai pasukan tersebut.
Ibubapa juga mempunyai peranan yang sangat penting dalam memperkasakan perkembangan muzik dikir barat di sekolah ibubapa atau penjaga seharusnya menggalakan anak-anak mereka supaya terlibat dengan acara tradisional ini agar ianya tidak lapuk ditelan zaman, Kebanyakan ibubapa merasakan aktiviti dikir barat yang di sertai oleh para pelajar tidak membawa sebarang kesan yang positif terhadap pelajar. Mereka lebih sanggup menghantar anak-anaknya ke kelas-kelas tuisyen daripada menyertai sebarang aktiviti kokurikulum terutamanya yang berbentuk kesenian seperti kumpulan dikir barat ini.
Masyarakat setempat juga menyumbangkan permasalahan yang akan dihadapi dalam penubuhan dikir barat ini. Masyarakat kampung yang masih cetek pemikirannya menganggap aktiviti dikir barat ini menyumbangkan masaalah sosial dan tidak gemarkan bunyi bising paluan alat-alat muzik dikir barat di sekitarnya, kebanyakan masyarakat terdedah dengan pesembahan dikir barat dikampung-kampung yang banyak mengalunkan lagu-lagu yang berunsur lucah menyebabkan mereka merasakan penubuhan pasukan dikir ini patut dihalang dari diadakan di sekolah.
Menurut Akhbar bin Amran (2005), Tidak dapat dinafikan terdapat golongan yang kurang selesa dengan penubuhan sesebuah kumpulan muzik di sekolah. Golongan ini mempengaruhi pelajar yang berminat untuk cuba berjinak-jinak dalam bidang ini dengan memberi alasan bahawa muzik merupakan wadah dan menyediakan ruang sosial yang tidak sihat kepada pelajar.

3.0 KESIMPULAN

Daripada apa yang diutarakan kita dapat lihat bahawa tiada jalan pintas yang boleh dilalui dalam menubuhkan pasukan dikir barat di sekolah. Sebagai seorang pendidik dan bertanggungjawab seharusnya kita bersedia untuk menghadapi situasi sebegini dan mencari jalan agar apa yang kita lakukan dapat diyakini oleh pelbagai pihak samada pengurusan atau ibubapa. Apa yang penting seharusnya kita bersikap optimis dalam mengembangkan warisan kebudayaan melayu serta mempastikan bakat dan keistimewaan pelajar dikembangkan secara semaksimum mungkin.
Kita juga dapat lihat bahawa kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam memperkasakan seni kebudayaan dan warisan tanahair dengan memberikan bantuan kepakaran jurulatih, tetapi dengan kekangan-kekangan yang berlaku hasrat kerajaan tidak mencapai target seratus peratus dalam membangunkan kesenian tanahair.
Sebagai pendidik kita juga seharusnya bersedia untuk menghadapi situasi begini di samping cuba menangkis tanggapan-tanggapan yang negatif terhadap muzik. Kita seharusnya sedar dan terpaksa menerima bahawa muzik dan unsur-unsur sampingannya sudah menjadi sebahagian dari kehidupan sosial kita. Kita tidak dapat lagi menyekat kesan dan pengaruhnya dalam masyarakat. Kita seharusnya dapat membantu membimbing generasi muda untuk memilih dan menerokai aktiviti muzikal yang sesuai (Raja Azuan Nahar b Raja Adnan, 2005).














RUJUKAN
Asmad, (1996). Seni Lagu dan permainan Tradis, Kuala Lumpur: Cetaktama Sdn.Bhd.
Akhbar bin Amran, (2005). Gabungan Orkestra dan Muzik Tradisional,Antara Harapan dan Alasan. Kertas Kerja Seminar, Persidangan Pendidikan Muzik Malaysia 2005(MusEd’05).
Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, (2003). Pedagogi Untuk Asas Pendidikan, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Khoo kay Kim, (1982). Warisan Kelantan 1, Kota Bharu,Kelantan: United Selangor Press Sdn.Bhd.
Mohd Hassan Abdullah, (2004). Multiculture and Idiosyncratic Aspects of Malaysian Music: How Does it Survive in Public School Curriculum? Department of Music Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.
Othman Mohamed, (2001). Penulisan Tesis Dalam Bidang Sains Sosial Terapan. Penerbit Universiti Putra Malaysia, Sedang.
Patricia Matsuky,Tan Sooi Beng, (1997). Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan Sinkretik. Pulau Pinang: Sinaran Bros. Sdn.Bhd.
Raja Azuan Nahar b Raja Adnan , (2005). Perkembangan muzik popular dan impak
kepada kurikulum muzik sekolah. Kertas Kerja Seminar, Persidangan
Pendidikan Muzik Malaysia 2005(MusEd’05).
Sidek Mohd Noah, (2002). Reka Bentuk Penyelidikan.Falsafah, Teori dan Praktis. Penerbit Universiti Putra Malaysia, Sedang.



1 comment:

Unknown said...

Hubungi saya untuk tempahan dan pembaikian peralatan dikir barat : 012-9626827 (En. Hasni)